Monday, April 12, 2010

Aplikasi Penggunaan ICT Dalam Sekolah

Di sekolah, penggunaan ICT luas digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Untuk mempermudahkan penyampaian pelajaran, bahan-bahan seperti kemudahan teknologi maklumat iaitu komputer, perkakasan komputer dan perisian ( teaching courseware), perkakasan multimedia seperti projektor LCD dan skrin di sediakan. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dilihat dari empat aspek iaitu penggunaan ICT untuk pembelajaran tutorial, penggunaan ICT untuk pembelajaran penerokaan, penggunaan ICT sebagai alat aplikasi dan penggunaan ICT sebagai alat komunikasi.

Penggunaan ICT untuk pembelajaran tutorial merupakan satu amalan yang paling popular dalam PPSMI. Aktiviti pembelajaran yang menggunakan ICT untuk menyampaikan kandungan pelajaran merangkumi demonstrasi, fenomena yang menggunakan perisian CD Rom, laman web yang disimpan di dalam cakera keras, latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran ekspositori. Pembelajaran tutorial adalah multimedia melibatkan grafik, animasi, bunyi dan berbentuk interaktif yang menarik. Guru boleh mengulangi tutorial mengikut keperluan, kemampuan dan kadar penerimaan pelajar. Penilaian formatif untuk menguji sejauh manakah kemajuan serta kemahiran yang telah dikuasai oleh pelajar. Respon bagi setiap jawapan telah diberikan dan ia adalah berbentuk interaktif. Kesemua data itu disimpan dalam pangkalan data yang direka khas untuk mengira dan menyimpan pencapaian pelajar.

Penggunaan ICT untuk pembelajaran penerokaan juga merupakan amalan yang biasa di kalangan pelajar. Pelajar mengakses maklumat daripada World Wide Web seperti tugasan mencari bangunan-banguan bersejarah yang menarik, tempat-tempat peranginan yang terkenal di dunia, haiwan-haiwan yang jarang ditemui, kaum dan budaya sejagat dan lain-lain lagi. Bahan sumber lain seperti tip pembelajaran dapat digunakan oleh pelajar sebagai sumber rujukan untuk ulangkaji dan kefahaman konsep. Pelajar-pelajar juga boleh menggunakan kamus multimedia elektronik untuk mencari makna sesuatu perkataan atau istilah yang dikehendaki dengan menggunakan pelbagai media sokongan sebagai tambahan penerangan yang diberikan menerusi penggunaan teks. Penggunaan media seperti audio, videa, grafik dan animasi misalnya menyebabkan penerangan mengenai sesuatu perkataan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan. Sumber rujukan elektronik seperti ensaiklopedia, buku elektronik dan sebagainya juga merupakan sumber penerokaan pelajar.

Terdapat pelbagai jenis aplikasi yang memanfaatkan teknik simulasi yang boleh digunakan bagi tujuan pendidikan. Simulasi penerbangan yang sering digunakan dalam latihan sistem penerbangan merupakan contoh penggunaan simulasi proses kerja yang dinyatakan.

Penggunaan ICT sebagai alat aplikasi adalah penggunaan yang paling banyak membantu pelajar dalam pembelajaran. Pelajar menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan aktiviti, tugasan serta projek. Pelajar menggunakan spread sheet untuk melakukan pengiraan dan melukis graf. Pelajar juga menggunakan power point untuk persembahan projek atau tugasan. Drawing tools digunakan untuk melukis. Pelajar-pelajar kelab komputer merupakan pelajar-pelajar yang mahir menghasilkan lukisan dengan menggunakan komputer dan sering menang dalam pertandingan peringkat zon, negeri dan juga peringkat kebangsaan.

Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi semakin mendapat sambutan pelajar-pelajar. Pelajar berkomunikasi dengan pelajar di dalam sekolah yang sama atau dari sekolah yang lain melalui e-mail untuk mengongsi maklumat yang ditemui sama ada untuk tujuan perbincangan atau memberi cadangan pelaksanaan tugasan atau projek. Baru-baru ini sesetengah guru mula berkomunikasi dengan pelajarnya dengan menggunakan e-mail. Pelajar yang mahir menggunakan kemudahan ICT menghantar tugasan dan hasil projek kepada guru melalui e-mail juga. Pelajar masa kini dapat menghubungi guru pada bila-bila masa dengan menghantar e-mail kepada guru dengan klik kepada ikon e-mail.

Rujukan:
Abdul Rahim Mohd Saad (1998). Teknologi maklumat dan komunikasi : Keperluan pertimbangan semula program pendidikan tinggi. Kertas kerja dibentang di Seminar Dinamika Perubahan Pengurusan Menuju Era K pada 20 & 21 September 2001.

Chong Chee Keong. et al (2005). A study on the use of ICT in Mathematic Teaching. Malaysian Online Journal of Instructional Techonology. 2005.

3 comments:

hooyupee said...

Jika ICT begitu banyak digunakan dalam P & P , kenapa PPMSI yang berlandaskannya boleh gagal?
Jelasnya ICT hanya sebagai satu jenis alat bantuan mengajar sahaja. Manusialah yang penting dalam menjayakan sesuatu program.

Chong Fung Ken said...

Kegagalan PPSMI bukan bermaksud kegagalan penggunaan ICT dalam P&P, tetapi kegagalan pengurusan penggunaannya dan kesedian penggunanya yang belum dapat menggunakan ICT dengan baik. Jika semua warga pendidik mempunyai pengetahuan pengendalian dan tahu mengaplikasikan ICT dengan baik, program PPSMI tidak akan menghadapi jalan buntunya. Isu-isu lain juga berlaku mengenai penggunaan ICT, saya akan upload isu dan cabaran penggunaan ICT nanti...

khoocheeleng said...

Penggunaan ICT dalam P&P memang dapat menarik perhatian anak murid kita terutamanya di sekolah luar bandar seperti sekolah saya di Tenom, Sabah. Anak murid di sekolah saya masih tidak berpeluang untuk belajar komputer disebabkan ketiadaan kemudahan tu. Lagipun masalah kekurangan laptop yang baik dan masalah capaian internet di sekolah saya telah menjadi satu halangan bagi guru-guru untuk berusaha mengaplikasikan ICT dalam p&p... banyak lagi masalah yang lain, kesemuanya perlu diambil perhatian oleh pihak pembuat dasar supaya memastikan segala program dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya generasi muda kita ni...

Post a Comment

My Photo