Monday, April 5, 2010

Kepentingan Teknologi Terhadap Pendidikan

Penggunaan teknologi dalam P&P bermaksud menggunakan teknologi secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P. Menurut Pisapa (1994), integrasi teknologi dalam P & P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabungjalin bersama kaedah pengajaran. Guru perlu mengintegrasi ICT untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti P & P.

Matlamat utama mengintegrasi ICT dalam kurikulum adalah untuk membantu murid memperkembangkan kebolehan dari segi mengguna, mengurus dan memahami ICT. Adalah penting bagi murid untuk menguasai kebolehan-kebolehan ini semasa proses pembelajaran dalam setiap bidang kurikulum ( Jonassen, 1996). Peranan ICT dalam P & P akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini. Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P & P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.

Kegunaan ICT Dalam P&P

ICT telah memberikan banyak manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah dalam bidang pendidikan. Antara kegunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran adalah :

• menyediakan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran yang disimpan dalam pangkalan data untuk dicapai pada masa diperlukan
• membolehkan aktiviti rujukan diadakan untuk mengakses bahan ilmu yang terdapat di internet
• membolehkan perhubungan antara guru untuk bertanya sesuatu atau berkongsi pengalaman (jaringan komuniti profesional)
• penggunaan aplikasi literasi komputer (IVIS Word, Excel atau Power Point) untuk pelajar menyediakan laporan atau persembahan kerja projek
• penggunaan perisian 'desktop publishing’ untuk penghasilan imej, grafik dan lukisan sebagai alat memperkembangkan minda dan estetika
• penggunaan perisian kursus (courseware) bagi mengajar mata pelajaran tertentu, mengukuhkan aspek atau tajuk tertentu
• membolehkan amalan terbaik guru dari sesebuah sekolah disebar luas ke sekolah-sekolah lain, khususnya sekolah terpencil menerusi 'penyampaian berasaskan web' (web-based delivery)
• menyediakan kemudahan e-mel sesama pengurus sekolah untuk membincang, mengurus dan menyelesaikan masalah yang sama antara sekolah dalam sesuatu kawasan
• menyediakan kemudahan bagi kawalan dari pusat dalam hal pengurusan seperti kewangan dan perkhidmatan


Manfaat ICT Dalam Pembelajaran

• berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.
• memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid yang pelbagai keupayaan.
• meningkatkan motivasi murid.
• membolehkan pembelajaran kendiri (individualise learning).
• membolehkan murid mengakses maklumat yang sukar diperolehi.
• membolehkan murid mengumpul maklumat yang perlukan masa yang lama atau terlalu mahal untuk diperoleh.
• mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar.
• membolehkan murid mencuba atau melaksana eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksana dengan cara biasa.
• meningkat daya kreativiti dan imaginasi murid.
• memberi peluang kepada murid belajar secara berkesan dengan bimbingan yang
minimum.
• meningkat kemahiran ICT.

Untuk memperolehi manfaat mengguna ICT dalam P&P, penggunaan ICT dalam P&P mesti dirancang dengan baik, bukan secara "bidan terjun" atau sebagai aktiviti sampingan yang tidak ada kaitan dengan kurikulum. Penggunaan ICT juga harus bersesuaian dengan keperluan kurikulum dan menyokong pendekatan P&P. Yang penting sekali ialah terdapat peralatan ICT yang mencukupi dan perisian yang sesuai yang boleh diguna dalam aktiviti pembelajaran.

Rujukan:

Faizah Bt. A.K. et al.(2005). Keperluan pembelajaran berasaskan multimedia bagi subjek sistem elektronik 1 : satu kajian rintis di PJB. Kertas kerja dibentang di Seminar Pendidikan 2005, Fakulti Pendidikan, UTM pada 15 Oct 2005.

Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir (2003). Asas multimedia dan aplikasinya dalam
pendidikan
. Bentong : PTS Publication.

Lai Kim Leong (2002). Integrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Kertas kerja dibentang di Seminar Teknologi dan Komunikasi Dalam Pendidikan, MPBL, 2002.

3 comments:

jemaya63 said...

Tahniah ... Satu Blog yang menarik ... Saya kagum ... Inilah kelebihan IT ... Bersyukur dapat belajar ... Sebagai pentadbir kita telah jadi contoh kepada guru lain .. Di sekolah saya, saya adalah orang yang ke2 boleh buat blog .. 1 org lagi tu tentulah guru media ... Dari blog ini saja, banyak yang telah saya dapat .. maklumat yang banyak dari semua kohort 9 .. tahniah pada kita dan TQ very much pada Pn. Harnani..

Chong Fung Ken said...

Thanks jem, ya dulu orang cakap pasal blog kita tergagah saja, sekarang dah tahu rahsianya harap tidak terlambat. TQ Pn. Harnani yang memberi peluang kepada kami membuat blog sendiri. Keep it on kohort 9...

Amanda Cheong said...

Konsep pembelajaran berasaskan peralatan teknologi komunikasi (ICT) khususnya internet dianggap semakin popular dan penting untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian seseorang pelajar di dalam pelajarannya. Penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; dan membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah. Inilah kecanggihan teknologi komunikasi!

Post a Comment

My Photo