Sunday, April 18, 2010

Isu Penggunaan ICT Dalam Sekolah

Menurut Mohamed Rashid dan Mohd Nasir (2003) dalam kajian “Refleksi Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran menyatakan bahawa pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaharuan pendidikan dari segi pengajaran-pembelajaran, sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu kepada sistem pendidikan.

1. Persepsi guru terhadap kepentingan komputer
Dapat diperhatikan bahawa walaupun guru bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin P&P konvensional lebih relevan dengan sistem peperiksaan ini adalah keranan mereka lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan.

2.Kerisauan untuk menghadapi perubahan
Selain daripada sikap yang tidak menganggap ICT itu penting terdapat juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan ICT itu sendiri. Terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer iaitu takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, takut kerana mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi iaitu tahap inferior yang tinggi dan ada guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.

3. Masa dan beban tugas guru
Mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru dalam membuat persediaan. Persediaan yang diperlukan termasuk dari aspek menyediakan bahan mengajar serta untuk setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 30 waktu seminggu, adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk setup bahan mengajar di makmal komputer.

Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam. Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri (self access, self pace and self excel).

4. Kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P
Proses pengajaran memperalatkan ICT menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. Oleh kerana tidak semua bahan pengajaran tersedia untuk digunakan terus, maka guru dikehendaki menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik, tetapi keinginan guru untuk menambahbaikan bahan P & P hanya tinggal sebagai kemahuan saja kerana guru-guru kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan menggunakan komputer dalam P & P. Tambahan lagi, penggunaan komputer oleh guru adalah pada tahap yang minima sahaja iaitu sekali sekala dalam masa sebulan. Selain daripada itu, guru-guru kerap menggunakan hanya satu program sahaja iaitu pemprosesan perkataan. Guru-guru jarang menggunakan pangkalan data, persembahan mutimedia, persembahan grafik, mel elektronik dan laman web dalam pengajaran.

Kesimpulan
Integrasi ICT dalam P & P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu penglibatan pemimpin sekolah dalam membina polisi, pelan pembangunan ICT dan sokongan terhadap program pembangunan staf adalah menjadi teras utama. Sokongan dan sumbangan pihak luar harus dilihat sebagai satu peluang untuk memantapkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adalah usaha daripada semua pihak, diharapkan cabaran dan kekangan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat ditangani.

Rujukan:
Rusmini Ku Ahmad (2003). Integrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran : Jurnal pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Genting Highlands. Institut Aminuddin Baki.

Ting Kung Shiung & Woo Yoke Ling. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru sekolah menengah teknik dan vokasional: sikap guru, peranan ICT dan kekangan/cabaran penggunaan ICT. Kertas kerja dibentang di Seminar Pendidikan 2005, Fakulti Pendidikan, UTM pada 15 Oct 2005.

3 comments:

Mary Ong views said...

Isu dan masalah yang diposkan lebih kurang sama bagi kita semua. Semoga pemimpin sekolah dapat menandatangani isu-isu tersebut.

Chong Fung Ken said...

Menangani masalah aplikasi ICT dalam sekolah memang berat bebannya tetapi tidak menjadi masalah kalau kita berusaha dengan mengambil langkah-langkah untuk menjayakannya....

jemaya63 said...

Semua yang kita buat didunia ini bukan datang bergolek dengan mudah ... yang penting kita berusaha dan buat yang berbaik mungkin agar tidak timbul sesalan di kemudian hari .. Bagi saya Try Ang Error is the best practise dan jadikan kita lebih berpengalaman...

Post a Comment

My Photo